Belanja Sekolah

 

 

Dulu masa sekolah rendah di Felda Tementi, Bera, saya bawa belanja sekolah 20 sen dan bawa balik rumah 50sen dan kadang-kadang dapat RM1. Setiap hari Rabu saya masukkan duit dalam Bank Simpanan Nasional (buku biru) kerana ada pejabat pos bergerak tunggu bawah pokok tepi padang. Saya bawa bekal pergi sekolah. Masa rehat, semasa orang beratur sahaja saya dah habis makan. Ada masa lagi saya buat lukisan yang orang tempah untuk “kerja rumah” ataupun suka-suka nak simpan koleksi “saiful nang” (sekarang mereka dah boleh lelong…ada harga sikiitt).

Di Sekolah Menengah semasa di English College JB, saya dapat BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) dalam RM250 setahun. Saya buat modal pelbagai perniagaan. Semasa tingkatan 4, saya dah buat kira RM4500 setahun untung semua dari hasil perniagaan. Banyak perniagaan yang boleh diceburi tanpa perlu lari dari asrama. Antaranya seperti menjual maggi dalam baldi, burger menggunakan seterika, lukis t-shirt, masuk semua peraduan silangkata (ok, ini juga income), buat t-shirt kelas.

Selepas umur 15 tahun, tak minta lagi duit mak ayah. Kenapa? Malah pernah beri duit pada mereka lagi. Tapi kalau mereka beri, saya ambil juga agar mereka tidak berkecil hati.

Pada hari ini, saya seronok dan bangga kerana anak-anak saya bercampur dengan anak=anak asnaf & yatim (saya juga dah jadi asnaf kerana tiada lagi harta selepas syarikat saya diwakafkan kepada RPWP). Maaf saya kena cakap kerana ada yang fitnah saya kononnya saya letak anak saya di RPWP dan anak saya makan harta anak yatim dan asnaf. Cuba selak Al-Quran siapakah 8 golongan asnaf itu. Jika faham, mesti anda tahu saya juga seorang asnaf. Maka, di sana anak saya dididik untuk mencipta dan berusaha. Soal boleh membaca atau tidak itu bukan tumpuan saya pada waktu ini sehingga mereka nanti masuk darjah 1. Buat masa ini, di RPWP anak saya diberi pendidikan tentang akhlak.

Menarik kan? Pergi sekolah pagi-pagi pakai boot kecil pergi bagi makan ikan keli dan puyu dalam kolam ikan, mencabut rumput dan memetik bendi di kebun, menyusun dan mengemas rumah, menolong ibu-ibu buang perut ikan bilis dan macam-macam lagi cara pendidikan yang insitu. Tiada kemewahan barang permainan tetapi yang menariknya, mereka mampu mencipta permainan sendiri dengan apa yang ada di sekeliling mereka. Anak-anak besar di RPWP pula yang kini di universiti kebanyakannya tidak meminta wang saku tambahan. Wang saku dari biasiswa dan PTPTN sahaja sudah cukup MALAH mereka modalkan untuk perniagaan yang sangat menguntungkan. Melihat mereka seperti saya melihat ke cermin masa lampau.

Saya membesar tanpa alasan. Maka, setiap kemahuan itu mesti kuat barulah saya mampu mencari jalan. Ingatlah, jika hari ini anda dikejar anjing sawan, mungkin anda mampu lari lebih laju dari Usim Bolt. Tak percaya? Nanti cari anjing dan sakat mereka…

 

KLIK SINI UNTUK ARTIKEL TENTANG BELANJA SEKOLAH WARGA PRIHATIN

 

SAIFUL NANG
Anak Kampung

 

image_pdfimage_print

2 Replies to “Belanja Sekolah”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *