Mengapa Takut Gagal?

Alhamdulillah, bulan puasa tiba semula. Yang istimewa, pada bulan Ogos 6 tahun yang lepas, saya merupakan seorang yang hampir bangkrap disebabkan perniagaan-perniagaan yang terpaksa ditutup. Kereta ditarik bank, rumah terjual berpindah ke bawah kolong. Itu semua 6 tahun lalu dan seperti dalam lipatan sejarah saya ia seolah terjadi kelmarin sahaja. Kesusahan itu menjadi guru untuk saya bangkit semula menjadi seseorang yang lebih baik. Ketika itu juga, setelah 3 tahun (2001-2004) mencebur diri dalam perniagaan, dua kali lah juga telah perniagaan saya ditutup kerana kegagalan demi kegagalan dek kerana kurangnya pengalaman dan minda usahawan. Ijazah berada di tangan, adakah patut ditulis semula resume dan dihantarkan ke industri kerja? ataupun teruskan lagi kesusahan itu dengan harapan tinggi bahawa ada cahaya akan ditemui di hujung terowong yang panjang.

6 tahun dahulu juga saya hilang segalanya kecuali ibu bapa saya. Nekad dalam hati, perjuangan belum lagi bermula. Jatuh bangun itu hanya rencah kehidupan yang wajib berlaku dalam proses seorang manusia bertatih. Bagaimanakah anda mahu nilai kemanisan kejayaan sekiranya kepahitan hempedu tidak pernah kita jamah. Saya pasti, dan sangat pasti jatuh itu hanyalah pelajaran untuk memperkenalkan kita tentang kehidupan.

Arwah ibu saya (Rose) tidak pernah galakkan saya menjadi usahawan. Beliau lebih bangga untuk bercerita bahawa saya seorang bekas pensyarah universiti berbanding seorang usahawan. Tetapi segalanya berubah apabila 6 tahun dahulu, saya mula mencebur diri dalam bidang yang saya sukai…FOTOGRAFI. Setelah itu, segalanya berubah.

Berbuat sesuatu yang kita sukai kuasanya hebat. Anda akan punyai kekuatan dan jatidiri yang tinggi untuk tempuh segala cabaran yang mendatang. Terima kasih semua kerana anda yang dari mula hingga ke masa ini masih tetap menyokong saya dan kerjaya saya samaada anda sedar ataupun tidak. Cabaran tetap ada, mustahil kalau saya katakan cabaran itu semakin hari semakin mudah. Realitinya, masalah dan cabaran akan bertambah besar apabila sebuah perniagaan itu semakin besar. Kalau syarikat kecil-kecilan seperti saya ini melakukan kesilapan mungkin bahananya hanya sekadar RM10-20k sahaja. Jika syarikat yang besar, sekali silap, bahananya mungkin jutaan atau billion harganya.

Pada saya, saya tidak perlu takut pada kegagalan dan kesilapan. Saya dah anggap itu semua sebagai permainan yang wajib dimainkan. Tidak ada pengecualian sekiranya saya mahukan “hadiah”nya. Hadiah itu ialah pelajaran dan pengalaman yang TIDAK tertulis di dalam buku-buku. Saya bukan seorang graduan dari jurusan perniagaan, tetapi semasa saya memberikan ucapan 30 minit di hadapan sebuah konvensyen atas jemputan sebuah universiti, seseorang telah datang menghampiri saya dan mengatakan bahawa beliau tidak percaya saya hanya pemegang ijazah kerana kelihatan tutur ucapan di pentas itu kayak seorang graduan Doktor Falsafah dari Harvard. Mulanya saya hanya berterima kasih kerana kredibiliti yang berkata itu pun perlu dipertimbangkan. Sehinggalah saya tahu, yang berkata itu ialah salah seorang dari pengarah di sebuah agensi kerajaan. Lantas, saya anggap itu satu penghormatan.

Tua sebelum tua, itulah yang saya mahukan. Bukan fizikalnya tetapi pengalamannya. Dalam kelas Pengajian Beliau di dalam kelas program sarjana saya, telahpun saya bentangkan dalam diskusi mingguan tentang kita (beliau) yang sebenarnya sangat berpotensi extreme. Sekiranya baik salurannya, jadilah ia baik, sekiranya disalurkan kenakalan mereka ini kepada yang buruk…maka buruk pula lah jadinya.

Saya seorang yang sangat nakal. Nakal yang nerd juga semasa di uni dahulu. Saya bukanlah nakal seperti Ali Setan tetapi suka membuat perkara yang tidak sama dengan yang lain. Saya jelas dan faham kadangkala perkara itu membuat saya mendapat masalah. Pada saya, tidak salah mencuba dan gagal kerana pada ketika itu pun saya sudah berfikiran bahawa kegagalan itu adalah guru terbaik. Justeru apabila dikatakan gaya bercakap saya seperti Doktor Falsafah dari Harvard, saya lihat praktikalnya ialah, kegagalan itu lebih hebat dari Harvard (Universiti terbaik dunia).

Saya sendiri dalam melalui pengalaman membangkitkan syarikat kini yang memiliki beberapa jenama seperti CandidSyndrome, Lifeiscanvas, SN Academy of Photography dan BHC kesemuanya secara konsisten telah melalui semua proses-proses kegagalan ini. Dalam setiap kegagalan sebenarnya anda ada dua pilihan, samaada berpatah balik dan keluar dari juang anda ataupun kutip pelajaran untuk anda jadikan bekal menghadapi kebarangkalian masalah yang sama.

Soalnya, mengapa takut kegagalan? dan mengapa dicemuh mereka yang gagal?

Sinisnya, orang “Kita” suka lihat orang gagal. Mereka tak mahu berusaha untuk jadi lebih baik dan setaraf dengan mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing, sebaliknya untuk mendapatkan persamaan itu, mereka menjatuhkan mereka yang mahu meningkat naik supaya tidak terlalu jauh dengan mereka-mereka yang “kalah” ini. Saya sendiri dah acapkali berjumpa dengan karakter-karakter begini yang sangat suka melihat kejatuhan orang lain.

Saya tertawa juga apabila ada terbaca dalam blog yang mengatakan CandidSyndrome sudah bungkus. Saya jadi keliru, adakah sekiranya benar CandidSyndrome bungkus mereka akan jadi lebih baik? Apakah yang ada dalam hati mereka? Pada saya, Allah maha adil dan maha bijaksana. Allah berikan rezeki dan hikmah kepada hambanya yang berusaha. Mengaib dan memfitnah dah tentu-tentu ke dalam api jahannam akhirnya.

Kepada sahabat-sahabatku di luar sana, jika anda takut, jangan berani-berani. Jika anda berani, jangan takut-takut. Lebih banyak gagal lebih banyak belajar asalkan jangan gagal kerana perkara dan masalah yang sama. Mengapa harus takut dengan gagal kalau itu ialah guru yang hebat? Walaubagaimanapun, sentiasa elakkan kegagalan dan jangan lah kerana gagal itu guru terbaik, anda jadi orang yang sengaja mencari gagal. Kerana gagal pasti anda akan hadapi walaupun dengan usaha sedaya upaya untuk mengelaknya. Itu pasti.

.

SAIFUL NANG
MPA (UK), WPPI (USA), WPJA, B.SC Media (MMU)

CEO / Principal Photographer
Colours of Asia Sdn Bhd
CandidSyndrome International
+60380766878 (HQ)
+6738880639 (Brunei)
+6013 3977715 (Mobile)

Saiful Nang | Promote Your Page Too

image_pdfimage_print

6 Replies to “Mengapa Takut Gagal?”

  1. nice writing there bro.. dah lama tak tgk bro post kat blog.. BTW, kita pernah jumpa kat first program fotomama (mkn2 kat rumah salah seorang peserta fotomama).. Klu ingatla..

    Selamat berkenalan kembali…

  2. wah..nice yea SN..suntikan yg bagus utk me juga..ehheehhe..SEMANGAT!!!!!!!!!!!!!!!!!! Bila Kita Jatuh Tak bermakna Kita Tidak Boleh berjaya..Terbaek………

  3. Great story, great motivation, great idol.
    You deserve wht u have now.
    keep enspiring people like me SN,

    good thing happen to good people.
    great thing happen to great people.

    hopefully smday i can meet u face2face

  4. yalah SN. lihat pd kegagalan org len dgn cemuhan apalah yang ada utk ‘mereka-mereka’..hmm..selalu consider diri sendiri org yg baik tp selalu xsedar kelemahan diri yg nmpak hnya aib org lain…

  5. kemenangan hari ini bukanlah berarti
    kemenangan esok hari
    kegagalan hari ini bukanlah berarti
    kegagalan esok hari

    hidup adalah perjuangan tanpa henti-henti
    usah kau menangisi hari kemarin
    ahha …

    tak ada yang jatuh dari langit
    dengan cuma-cuma
    semua usaha dan doa
    kebenaran saat ini
    bukanlah berarti kebenaran saat nanti
    kebenaran bukanlah kenyataan

    hidup adalah perjuangan
    bukanlah arah dan tujuan
    hidup adalah perjalanan
    hidup adalah perjuangan

    -DEWA19-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *