DIDIK ANAK MENYAMPAIKAN IDEA

Didik anak berkata-kata. Allah juga mengajarkan kita berbicara (Ar-rahman, 1-4). Berbicara memang boleh tetapi menyampaikan idea melalu pidato memerlukan 2 perkara utama iaitu

1. ISI / ILMU
2. Penyampaian

Penyampaian akan dapat secara spontan melalui tauladan. Proses yang panjang ialah mengisi ILMU kerana itu yang mahu diperkatakan. Tidak perlu bercakap dengan teks jika apa yang mahu dikatakan itu sudah tersemat dalam jiwa. Keluarkan sahaja. Ilmu terbesar melalui pengalaman kerana dari pengalaman itu kita mampu bercerita tanpa ada teks dan hafalan.

Ini Orked, dalam gambar semasa saya bawanya dalam sebahagian ceramah yang saya diundang. Orked memerhatikan saya berceramah di pentas. Secara tak langsung, itu satu pendedahan tentang tauladan untuk Orked contohi dan TAMBAHBAIK lagi apabila gilirannya sampai nanti.

AQIL BALIGH itu BERAKAL dan mampu balagho (BALIGH) ataupun dalam bahasa melayunya “Menyampaikan”. Proses pertama iaitu pengisian ilmu itu perlu dilakukan sementara tempoh aqil baligh kerana selepas baligh mereka sepatutnya sudah mampu berfurqan dan menyampaikan furqan mereka.

Saya tak beri Orked telefon pintar, tablet dan menonton TV juga secara terpantau. Mereka pada masa hadapan ialah apa yang mereka tonton, dengar, berkawan dan lihat pada hari ini. Maka, jagalah semua saluran input ini. Orked mungkin tidak pandai berpidato hari ini tetapi sampai masanya nanti, apabila dia dinaikkan ke atas pentas, tidaklah menangis ketakutan dan gugup. Kerana telah diberi pendedahan awal.

Saya lah yang kena kawal kegugupan bila berceramah supaya tidak mahu diambil contoh. Sekali sekala, Orked dan kawan-kawan sebayanya mengikuti pula bapa-bapa lain di Rumah Pengasih Warga Prihatinuntuk aktiviti lain seperti kemasyarakatan, ziarah dan kenduri pula.

Saya tak risau anak tak pandai membaca pada umur 6 tahun, tapi saya sangat risau jika anak tidak pandai bersalam dengan orang tua, tunduk hormat, datang bila dipanggil, mendengar kata dan hidup dalam aturan.

Mungkin ada yang tak sanggup kongkong anak. Kita juga kena ingat, kongkongan itu ialah penetapan HAD. Jika 1 kita panggilnya HAD, tetapi jika banyak kita panggilnya HUDUD. Memang manusia dicipta ada hudud / batasannya. Yang membezakan kita manusia dengan haiwan ialah batasan aturan itu.

Tidak terlambat untuk mulakannya sekarang. Jangan malu bawa anak pergi ke tempat kerja. Biar mereka tahu kita ibu bapa ini bukan senang-senang kerja cari rezeki. InsyaAllah anak juga mampu dengar kata.

 


SAIFUL NANG

p/s syukur Orked dapat tempat preschool terbaik di dunia iaitu di Rumah Pengasih Warga Prihatin. Mereka menjaga, menyayang dan mendidik Orked bukan kerana gaji tetapi kerana persahabatan

Parenting David Beckham Vs Sultan Murad

Kekayaan David Beckham dan Victoria Beckham memang seperti yang kebanyakan kita kenali. RM500 Juta kekayaan boleh dikatakan beliau separuh billionaire. Bintang bolasepak ini memanglah terkenal sebelum ini dengan skandal seksnya tetapi saya lihat Victoria seorang isteri penyabar. Sejarah Victoria jika diungkit mungkin juga ada parut yang banyak tetapi yang saya lihat ialah contoh ke hadapan. Mereka bukan sempurna, seperti orang lain juga tetapi apa yang mereka lakukan terhadap anak mereka ialah satu pendidikan yang klasik dan sudah dilupakan orang zaman ini. Dari apa yang beliau lakukan terhadap anak sulungnya Brooklyn, saya lihat ia lebih mengajar anak ini menjadi seorang yang kreatif dan inovatif berbanding dungu kerana hidup dalam keadaan kecukupan tanpa masalah.

Lihat sahaja dalam dunia hari ini, berapa ramai billionaire yang asalnya dari orang senang? Sultan Mehmet Alfateh sendiri seorang anak kepada Sultan Murad yang dibesarkan di istana juga dicampakkan ke dalam kancah kesusahan bersama 2 orang sheikh yang mendidiknya. Itu menyebabkan beliau bangkit menjadi seorang raja yang hebat dan  sangat disegani sehingga empayar Uthmaniah mendapat kejutan baru dan mengalami kemajuan tamadun yang sebelum itu kelihatan layu dan merudum. Kerana baginda pernah susah, perkembangan minda baginda lebih kepada sentiasa mencari PENYELESAIAN berbanding mencari ALASAN. Mungkin zaman ini jika kita lihat ramai orang menyalahkan orang lain kerana mereka hidup susah itu sebagai satu pencarian ALASAN. Mungkin mereka dimanjakan sangat sebelum itu. Saya sendiri bangkit dari kemiskinan tetapi ALASAN tidak sama sekali. Saya tahu, bila ada masalah pasti ada penyelesaiannya.  Biar mati kerana mencuba dari hidup menyalahkan orang (loser). Saya akui, saya banyak belajar dari kesusahan berbanding apa yang saya pelajari semasa di bangku universiti. Jikalah tidak kerana orang memandang kertas-kertas yang bernama ijazah, sarjana ataupun doktorat, saya rasa saya juga akan berhenti sekolah selepas saya kenal huruf. Bukan kerana universiti tidak bagus, tetapi universiti membentuk saya menjadi apa yang bakal majikan saya mahukan berbanding apa yang mahu saya cipta.

Tahniah Beckham & Victoria. Contoh yang baik tidak kira dari siapapun ia wajar diambil contoh. Nak cari orang perfect untuk dicontohi memang takkan jumpa sampai bila-bila. Ada yang baik dari pasangan ini kita ambil contoh. Brooklyn boleh sahaja minta duit dari bapaknya beribu-ribu pound sehari tetapi mengapa perlu bekerja sebagai barista pembancuh kopi untuk bayaran kurang 3 pound sejam? Saya juga tidak pernah memanjakan anak dengan memberikannya pelbagai. Sebab itu anak saya dari kecil dibiarkan bersama anak yatim dan asnaf yang kurang bernasib baik. Tiada minta beli mainan kerana mereka tahu mereka BOLEH BUAT mainan sendiri. Jika semuanya disuap, buat mainan jauh sekali…mainan rosak sedikit sahaja dah campak masuk ke tong sampah. Kemudian, minta abah beli baru.

Siapa anak kita pada masa hadapan ialah apa yang kita lakukan kepada mereka hari ini. Jangan jumud sangat mentang-mentang David bagi anak jadi barista, nanti semua anak-anak hantar jadi barista. Soal pokoknya ialah DEDAHAN KEPADA MASALAH supaya minda anak berkembang dan cepat dewasa. Sindrom anak manja hari ini memang teruk, sebab itu ada yang dah jadi bapak orang pun masih main Transformers dan masih tengok Dragon Ball.

Sekian

SAIFUL NANG

image_pdfimage_print