WAKAF BAS SEKOLAH UNTUK YATIM & ASNAF

 

Pendidikan ALAM adalah mod pendidikan utama RPWP. Beberapa buah bas sedang dicari. Kami memikirkan perolehan melalui konsep,

 

1. Wakaf unit dari perseorangan atau syarikat
2. Wakaf dana secara kolektif (KONGSI WAKAF)
3. Pelupusan hadiah dari unit terpakai yang ingin dilupus atau lucut hak oleh jabatan kerajaan, syarikat korporat, pengusaha BAS dan sebagainya.
4. Unit yang ingin dijual segera dengan diskaun wakaf atau dengan harga berpatutan.

Anda juga boleh usulkan kepada mereka yang anda tahu memiliki kemampuan mewakaf sebuah bas atau ikut serta program KONGSI WAKAF. Anda boleh menyalurkan dana WAKAF BAS mengikut kemampuan ke akaun RPWP seperti di bawah. Setelah wang itu cukup, kami akan membeli BAS dan memperbaikinya di mana perlu.

PENDIDIKAN ALAM

Mod Pendidikan Islam terhadap para Nabi berlaku secara ALAM. Apa yang berlaku pada hari ini ialah pendidikan secara QALAM (Akademik). Di RPWP anak-anak diberikan keseimbangan pendidikan qalam & alam. Namun, penekanan adalah pada pendidikan secara alam.

Inilah gaya pendidikan bagaimana Nabi Musa belajar dengan nabi Syuib, juga belajar dengan Nabi Hidir tanpa ada kelas. Dengan Nabi Hidir, Musa a.s. hanya mengikuti perjalanan dan melihat bagaimana baginda melaksanakan siyyasah semasa dalam perjalanan. Begitu juga bagaimana Musa a.s. belajar dengan bekerja bersama-sama Nabi Syuib.

Nabi Sulaiman juga tidak pernah masuk universiti tetapi pendidikan baginda adalah melalui konsep alam apabila baginda mengikuti ayahandanya Nabi Daud sepanjang masa dan memerhati. Begitulah juga dengan nabi-nabi lain yang tidak bersekolah dan mendapat pendidikan secara qalam yang berjadual padat seperti kita sekarang tetapi mereka belajar SECARA ALAM.

Pada era moden pula, Sultan Mehmet Alfateh mendapat pendidikan dual mode iaitu pendidikan QALAM & ALAM. Alhamdulillah walaupun jumlah masa belajar anak-anak RPWP agak kurang berbanding pelajar lain (hanya sekitar 1.5 jam sehari) tetapi mereka mampu mendapat keputusan akademik yang baik berbanding anak-anak yang tumpuan ulangkaji mereka tidak boleh dikacau. Anak-anak Prihatin dibiasakan dengan kerja tangan, membantu orang tua, berkebun, menternak ikan dan pelbagai aktiviti ALAM yang menjadi modul integrasi segala pendidikan qalam yang mereka dapat di dalam kelas.

Sementara itu anak-anak RPWP meneruskan alam pembelajaran di setiap musim cuti tatkala anak-anak lain sedang bercuti. Dalam kem cuti sekolah ini anak-anak dibawa mengembara untuk mengembangkan minda dan pembelajaran melalui proses penelitian alam. Ini kerana pengajian al-quran yang kami terapkan kepada mereka menuntut mereka keluar meneliti segala petunjuk dari alquran yang banyak Allah kaitkan dengan unsur alam. Membacakan kalam/teks bukit, pokok, sungai, lembu, kera dan sebagainya tidak akan lengkap tanpa membawa anak ini berjalan meneliti sendiri apa yang dibaca secara alami. Kerana itu maka pembelajaran kalam tidak akan sekali kali dapat disempurnakan kefahamannya.

APAKAH KAITAN PENDIDIKAN ALAM DENGAN BAS?

Semua kita tahu sabda nabi s.a.w. “solat itu ialah doa/seru” (Assolaatud du’a). Inilah aktual dari ritual solat yang harus kita kembangkan praktik aktualnya melalui mekanisma pengaliran ilmu dan proses dakwah. Dalam kembara pendidikan ada banyak waktu senggang yang terbazir. Kita tidak seharusnya membiarkan anak-anak dalam keadaan terbiar tidak terpantau pemikirannya, mengelamun tanpa fungsi diri menzikirkan ilmu Allah sewaktu dalam perjalanan. Apatah lagi membiarkan anak-anak membuat kerosakan, membuat lagho, bermain-main dengan berbagai gajet serta bergurau senda sesama sendiri sepanjang perjalanan.

Surah Al-Baqarah Ayat 238

حفظوا peliharalah 
على atas 
الصلوت segala solat (solawat) 
والصلوة dan solat (solawat)
الوسطى wustha (pertengahan/perantaraan) 
وقوموا dan berdirilah 
لله untuk Allah 
قنتين dengan tunduk

Perhatikan juga AYAT 239 yang kami sertakan dalam gambar hiasan.

Apa yang kita takutkan ialah apabila murobbi terlalai maka anak-anak akan menjadi lagho. Seminit kita terlepas dari zikir mengingati Allah dan Rasul melalui pendidikan dan tarbiah, maka saat itu tiada hubungan (silah) kita dengan Allah dan Rasul dalam minda kita. Jadi dengan mengumpulkan anak-anak dalam satu kenderaan besar yang ada kelengkapan audio visual, mudah kita kendalikan program tarbiah untuk mereka. Sekurang-kurangnya melalui penjelasan oleh para murobbi merujuk persekitaran alam yang sedang mereka lalui atau tayangan dokumentari agama yang boleh menarik fokus minda mereka kepada Allah. Apabila telah aman boleh kita kemaskan kefahaman mereka di dewan dengan lebih sempurna.

Selama ini kami terpaksa menggunakan sekitar 15 buah MPV dan 2 buah kenderaan utiliti (pickup) terpakai untuk membawa bekalan keperluan, peralatan pandang dengar serta alatan bengkel untuk membaiki sebarang kerosakan kenderaan di perjalanan. Belanja perjalanan menjadi sangat tinggi di samping masalah yang melibatkan pemandu yang ramai. Kerana itu kami tidak mampu untuk lakukannya selalu sedangkan itu adalah WADAH pendidikan yang utama untuk anak kami.

Mengatur anak-anak yang ramai untuk dalam kenderaan yang banyak juga sangat rumit, khasnya di setiap kali berlakunya perhentian dan keberangkatan semula. Paling mengerikan ialah pengalaman anak OKU kami yang hampir dilanggar kereta bila berlaku kerosakan di lebuhraya pada salah satu dari mana-mana unit kenderaan dalam konvoi kami. Kerosakan luarjangka ini sering berlaku kerana kami menggunakan kenderaan lama / terpakai.

Lebih penting lagi ialah untuk menyatukan aktiviti penerangan secara berpusat yang sukar dilakukan apabila anak-anak berpecah-pecah dalam banyak unit kenderaan. Pemandu terpaksa fokus pada pemanduan lalu pendidikan anak-anak terputus sewaktu perjalanan sedangkan bagi mereka ‘masa itu emas’. Itu adalah satu kerugian besar dalam usaha memanfaatkan waktu dan subjek pembelajaran yang hadir sepanjang perjalanan tanpa ulasan MUROBBI.

OLEH ITU, RPWP sangat memerlukan beberapa unit bas untuk melanjutkan jangkauan pendidikan sehingga anak-anak ini mampu melihat lebih jauh dan mampu menjadi pemimpin yang hebat pada masa akan datang. Insyaallah hasil pendidikan mereka ini boleh dimanfatkan untuk ikut sama mendidik anak cucu kita di masa depan. Sebelum ini, hanya setahun sekali atau 2 kali sahaja mereka dapat keluar dari RPWP untuk membuat lawatan-lawatan ke luar.

JIKA ANDA ADA UNIT BAS LAMA yang masih berfungsi dan ingin dilupuskan juga boleh dipertimbangkan. Kami mungkin usahakan untuk dijadikan motorhome bagi kemudahan penginapan dan persalinan alakadar di lokasi pengembaraan untuk program pembelajaran di lingkungan alam. Ia juga bagi memudahkan murobbi yang menyusukan anak, yang sakit atau menempatkan golongan OKU dan warga emas. Ia juga dapat menjimatkan kos penginapan, khususnya kepada pengiring dewasa / MUROBBI.

KAMI TAK BAWA ANAK KAMI MELAWAT LEGOLAND ATAUPUN LAWATAN KE WATERPARK. Lawatan yang biasanya diatur ialah lawatan-lawatan seperti berikut;

– Lawatan Kasih : Warga Emas
– Lawatan bantuan kemanusiaan : Membaiki Rumah dan membersih kawasan rumah Warga Emas, ibu tunggal, asnaf miskin, mangsa bencana alam dan sebagainya.
– Lawatan Sejarah : menelurusi jejak perjalanan hidup para Pengasas RPWP untuk membuka mata dan hati anak-anak tentang hakikat ujian dalam kehidupan,
– Lawatan keraian dan kematian – memenuhi jemputan keraian di majlis seperti buka puasa, khatam quran, kenduri kahwin, tahlil, pengkebumian dan sebagainya.
– Lawatan pendidikan – menghadiri kursus, seminar, kem motivasi, lawatan ke tempat bersejarah, pusat sains, zoo, muzium dan sebagainya.

KEPERLUAN BAS JUGA UNTUK MENGHANTAR ANAK-ANAK KE SEKOLAH.

Hari ini kami menggunakan beberapa buat MPV dan van untuk tujuan itu. Di samping menjimatkan kos, ia turut mengurangkan PEMBAZIRAN TENAGA KERJA jika tidak menggunakan banyak kenderaan dan pemandu. Sukarelawan sepenuh masa yang sama juga diperlukan untuk kerja-kerja membina rumah, memasak dan menguruskan pendidikan anak-anak pra-sekolah (yang kini di bawah konsep ‘Home Schooling’ kelolaan RPWP sepenuhnya).

PEMBUKAAN WAKAF.

Alhamdulillah, selepas kejayaan wakaf Quran yang lalu dan “kegagalan” Wakaf Kren (tetapi kami beli juga dengan wang simpanan yang ada), kami harap Wakaf Bas ini mampu mendapat tempat di hati. Bas yang bakal membawa anak-anak yatim, asnaf, tahfiz dll untuk belajar dan pelajaran itu bakal dimanafaatkan sepanjang zaman untuk pembangunan generasi kita dan itu semua adalah bahagian pelaburan akhirat buat kita semua.

Berikut ini ialah butiran akaun kami.

1. MBB (UNTUK ON-LINE ATAU CEK – sebab kemudahan MBB2U)
NAMA AKAUN : PRIHATIN SERVICES
BANK : MBB, KAJANG BRANCH
ACC NUMBER : 5620 2160 7398

2. MBB (UTK CEK SAJA).
NAMA : PER KEB RMH PENGASIH WARGA PRIHATIN 2012
BANK : KAJANG BRANCH
ACC NUMBER : 562021611721

3. Jika anda hanya ada CIMB sebagai pilihan, kami berikan No. akaun Sukarelawan kami,
No. AKAUN : 14670007074521
NAMA : JOHARI IBRAHIM

WAKAF itu satu pelaburan sepanjang zaman. Sepertimana saham wakaf al-Quran Per Kata yang telah anda sertai baru-baru ini, juga wakaf Sekolah yang bakal kami lancarkan sedikit masa lagi, InsyaAllah WAKAF UNTUK SISTEM SEKOLAH BERGERAK ini akan kekal beroperasi selagi SEKOLAH INTERGRASI yang kami usahakan masih berjalan. Selama itulah juga ganjaran dari saham wakaf ini terus mengalir bertali arus.

Semuga amal dari segala ilmu yang dapat digarap dan dimanfaatkan oleh generasi anak-anak silih berganti ini nanti menjadi bekal akhirat untuk kita yang bakal pergi meninggalkan mereka. Insyaallah dengan kemudahan ini jumlah pengambilan ke dalam KEM CUTI SEKOLAH boleh ditambah bagi memenuhi permintaan ibu bapa yang selama ini tidak dapat kami penuhi.

Sebarang pertanyaan boleh ajukan samada melalui Inbox Warga Prihatin, email prihatin@live.com atau Whatsap / SMS 013-5858789, 5858700. Biarpun seringgit, kami mohon maklumkan juga untuk tujuan rekod, akad dan doa. Selamat berwakaf.

SEKOLAH INTERGRASI PENDIDIKAN ISLAM SEPANJANG HAYAT
Warga Prihatin

Salah faham tentang maksud IKHLAS

Gambar Hiasan : Sebahagian dari anak-anak yatim dan asnaf di RPWP sedang mendirikan solat berjemaah

 

Kelmarin, saya lihat di FB Warga Prihatin ada melancarkan Wakaf Bas. Saya lihat ia sangat menarik kerana konsep pendidikan yang nak dijalankan ialah konsep “ALAM & QALAM”. Lalu, sayapun kongsikannya kepada umum melalui FB saya. Saya tahu FB saya ramai pembaca dan saya harap, jika 10% yang menghulurkan wakaf pun sudah kira baik. Perlu diingat, wakaf ini sebenarnya seperti “PINK FORM” dan ia satu pelawaan dan bukan satu rayuan. Saya lihat dalam artikel wakaf bas itu (ramai yang tak baca kerana ramai yang minta maklumat yang ada yang diselit  dalam artikel itu juga) seperti satu prospektus pelaburan. Jika anda rasa itu betul, benarkannya dengan wakaf. Sayapun buatlah sedikit perkiraan sebagai CONTOH sahaja jika 10% dari pembaca saya menghulurkan wakaf RM10, maka akan ada RM150,000.

Yang paling menarik, ada ramai yang memberi RM0.90 pun (dari makluman pihak RPWP) dan ada yang RM1. Ok, tak ada masalah dengan itu langsung. Bukannya JUMLAH yang dinilai ALLAH tetapi KEIKHLASANNYA. Melihat ada yang transfer RM1 itu tersilap print-screen mungkin di dalam akaunnya ada baki lagi RM15,000++ (lain kali prinscreen receipt maybank2u bukannya yang ada baki tu).

Kerana ada ramai yang begitu dan mereka katakan mereka IKHLAS maka saya terpanggil untuk menulis.

 

Terserlah keikhlasan dalam persaudaraan antara adik beradik yang berlainan bapa dan ibu.

 

Ada orang marah nanti jika saya katakan, sepanjang terlibat dengan NGO Rumah Pengasih Warga Prihatin dari awal dulu, ada beza antara orang Cina dan Melayu. Orang Melayu akan seluk saku dalam-dalam dan biasanya mencari baki-baki wang yang tidak digunakan dan mereka serahkan kepada RPWP dan mereka kata MEREKA IKHLAS. Orang Cina pula buat masa ini, mereka datang, mereka bertanya, mereka menilai, mereka tuliskan check. Bukan kisah mereka kaya dan yang Melayu tidak, kita buat perbandingan antara apple dan apple lah ye.

 

PENGERTIAN IKHLAS itu saya rasa ramai tak faham betul. Kita ikhlas tak perlu kita cakapkan. IKHLAS itu bukankah satu perkataan Arab dengan root-word nya HOLAS. Dan maksud HOLAS itu ialah HABIS. Maka MAKSUD IKHLAS ITU IALAH “BERHABIS” / ALL-OUT. Kan lari dari maksud yang ramai faham kan? Ramai yang ingat jika mereka bekerja ikhlas mereka tidak dibayar sedangkan kerja dengan ikhlas yang akan buat mereka dibayar lebih tinggi lagi. Kenapa? Mestilah, kalau orang buat kerja berhabis-habisan, bermati-matian mestilah boss sayang. Bila boss sayang nanti boss bagi naik gaji.

 

Tapi orang fikir, ikhlas ini dalam hati dan hanya Allah yang tahu. Semestinya, kerana Allah sahaja yang tahu adakah kita memberi SECARA BERHABIS-HABISAN ataupun kita sekadar memberi yang kita tak rasa nak pakaipun. Post ini sekadar akademik, takdelah ramai sangat yang kita ternampak bagi RM1 tapi ternampak BAKI akaunnya. Ramai juga bila dilihat yang ada baki RM500 tapi memberi sampai RM100 (itu boleh dikatakan ikhlas juga) tapi kalau RM1 diberi, baki dalam bank RM15,000 saya rasa, Allah yang tahu ikhlas atau tidak.

 

Kita kena ingat, rezeki Allah tak beri secara bank-in, maka dengan itu saya doakan mereka yang ikhlas itu mendapat keberkatan rezeki yang mencukupi dan  jika dilebihkan mampu menncukupkan yang lain. Buat hari ini, fikirkan semula MAKSUD IKHLAS yang sebenar. Adakah kita sudah ikhlas ataupun kita hanya memberi sesuatu yang kita pun tak berapa nak terasa kalau diberi.

 

Antara anak-anak asnaf & yatim RPWP

 

Jika tahu maksud sebenar IKHLAS itu, saya rasa Orang Islam akan jadi orang terhebat di dunia. Kerana ikhlas itu satu tuntutan dari Allah untuk segala apa yang mahu kita lakukan. Jika semuanya kita lakukan dengan IKHLAS BERHABIS-HABISAN / ALL-OUT, apa yang kita buat semua akan berjaya. Again, jika ikhlas…tak perlu kata kita ikhlas. Pihak di sebelah satu lagi BOLEH RASA keikhlasan anda.

POST ASAL TENTANG WAKAF BAS, KLIK SINI

 

Cebisan fikir

SAIFUL NANG
Saya ikhlas ni.

Belanja Sekolah

 

 

Dulu masa sekolah rendah di Felda Tementi, Bera, saya bawa belanja sekolah 20 sen dan bawa balik rumah 50sen dan kadang-kadang dapat RM1. Setiap hari Rabu saya masukkan duit dalam Bank Simpanan Nasional (buku biru) kerana ada pejabat pos bergerak tunggu bawah pokok tepi padang. Saya bawa bekal pergi sekolah. Masa rehat, semasa orang beratur sahaja saya dah habis makan. Ada masa lagi saya buat lukisan yang orang tempah untuk “kerja rumah” ataupun suka-suka nak simpan koleksi “saiful nang” (sekarang mereka dah boleh lelong…ada harga sikiitt).

Di Sekolah Menengah semasa di English College JB, saya dapat BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) dalam RM250 setahun. Saya buat modal pelbagai perniagaan. Semasa tingkatan 4, saya dah buat kira RM4500 setahun untung semua dari hasil perniagaan. Banyak perniagaan yang boleh diceburi tanpa perlu lari dari asrama. Antaranya seperti menjual maggi dalam baldi, burger menggunakan seterika, lukis t-shirt, masuk semua peraduan silangkata (ok, ini juga income), buat t-shirt kelas.

Selepas umur 15 tahun, tak minta lagi duit mak ayah. Kenapa? Malah pernah beri duit pada mereka lagi. Tapi kalau mereka beri, saya ambil juga agar mereka tidak berkecil hati.

Pada hari ini, saya seronok dan bangga kerana anak-anak saya bercampur dengan anak=anak asnaf & yatim (saya juga dah jadi asnaf kerana tiada lagi harta selepas syarikat saya diwakafkan kepada RPWP). Maaf saya kena cakap kerana ada yang fitnah saya kononnya saya letak anak saya di RPWP dan anak saya makan harta anak yatim dan asnaf. Cuba selak Al-Quran siapakah 8 golongan asnaf itu. Jika faham, mesti anda tahu saya juga seorang asnaf. Maka, di sana anak saya dididik untuk mencipta dan berusaha. Soal boleh membaca atau tidak itu bukan tumpuan saya pada waktu ini sehingga mereka nanti masuk darjah 1. Buat masa ini, di RPWP anak saya diberi pendidikan tentang akhlak.

Menarik kan? Pergi sekolah pagi-pagi pakai boot kecil pergi bagi makan ikan keli dan puyu dalam kolam ikan, mencabut rumput dan memetik bendi di kebun, menyusun dan mengemas rumah, menolong ibu-ibu buang perut ikan bilis dan macam-macam lagi cara pendidikan yang insitu. Tiada kemewahan barang permainan tetapi yang menariknya, mereka mampu mencipta permainan sendiri dengan apa yang ada di sekeliling mereka. Anak-anak besar di RPWP pula yang kini di universiti kebanyakannya tidak meminta wang saku tambahan. Wang saku dari biasiswa dan PTPTN sahaja sudah cukup MALAH mereka modalkan untuk perniagaan yang sangat menguntungkan. Melihat mereka seperti saya melihat ke cermin masa lampau.

Saya membesar tanpa alasan. Maka, setiap kemahuan itu mesti kuat barulah saya mampu mencari jalan. Ingatlah, jika hari ini anda dikejar anjing sawan, mungkin anda mampu lari lebih laju dari Usim Bolt. Tak percaya? Nanti cari anjing dan sakat mereka…

 

KLIK SINI UNTUK ARTIKEL TENTANG BELANJA SEKOLAH WARGA PRIHATIN

 

SAIFUL NANG
Anak Kampung

 

Epik Sultan Melaka

 

Ini epik. Lepas ni, income besar “baginda” ialah dengan menjual pingat-pingat kebesaran “Sultan Melaka” yang membawa gelaran pelbagai datukship. Modus operandi yang mungkin dapat terbaca patternnya. Saya tak nafikan jika Sultan Mahmud telah dibunuh dan dalam institusi raja, mereka ada pewaris kedua sekiranya raja sedia ada tidak mempunyai anak lelaki.

Pada mulanya, saya cuba berbaik sangka dengan apa yang beliau tuntut. Baik juga jika Melaka bersultan semula dan mampu diharapkan menjadi katalis untuk menghidupkan peranan raja-raja Melayu yang pernah hilang. Namun, positif itu sedikit berbanding pelbagai tanggapan negatif tentang perkara-perkara tak masuk akal seperti berikut;

– ICJ dikatakan mengiktiraf raja dan itu bukan bidang kuasanya
– ICJ akan bantu dana IMF sampai bertrillion dollar.
– Dikatakan Sultan Sulu dapat dana trillion dollar, dimanakah kemajuan Sulu sehingga Istana Raja pun seperti rumah petani miskin di Tanjung Karang.

Itu yang besar-besar yang saya nampak selain dari pakai tengkolok dan crown mak-mak andam, pakai baju pengantin, update facebook sendiri, tiada grooming untuk bahasa istana, tiada protokol mendaulatkan dan macam-macam lagi.

Tapi saya yakin, bagi mereka yang mempunyai bajet rendah, ini satu alternatif baik untuk mendapatkan gelaran “datukship”. Jika darjah dari Sultan Sulu, Sultan Magindanao, Sultan Inderagiri dll semua itu pasti telah ada yang COP sebagai tidak sah. Namun, yang ini…siapa nak persoalkan “Darjah Setia Melaka” (contohnya) yang mungkin orang boleh kata ia kurniaan TYT (yang sah) walaupun dapat dari sultan jelmaan ini dengan bayaran mungkin hanya RM10k atau 20k sahaja.

Tontonlah video ini. Ini summuaa kincin dan varaa.

SAIFUL NANG
DYMM Sultan Puchong Jaya

*untuk informasi tentang darjah-darjah dan pingat-pingat. Sila masuk kelas sekolah rendah mengikut DARJAH yang anda mahu dan juga masuk acara sukan untuk mendapatkan pingat anda.

Semasa otak sedang berasap

Semasa kepala saya sedang berasap dan temperature sangat tinggi Dalam menyiapkan manuskrip sistem pendidikan Rumah Pengasih Warga Prihatin, berhenti sekejap layan anak yang sedang melukis di hadapan saya. Saya ambil lukisannya dan ini yang saya buat.
Inilah hasilnya. Sebelah kiri itu sketch oleh Orked. Yang kanan itu oleh saya sendiri. TUlisan “Daddy” itu ialah tulisan Orked. Anda tahu…Orked seorang yang mewarisi disleksia saya barangkali. Hari ini Orked melukis atas kertas simili sahaja, ingat tadi nak pakai water color sahaja ataupun acrylic tapi memandangkan kertasnya kertas nipis, maka layan sahaja pakai warna pensil. Mungkin ini warna pensil saya yang pertama dalam tempoh 26 tahun. Yang terakhir mewarna pensi umur saya 9 tahun.
Inilah pelukis dan pewarnanya. Orked dan saya. Okey…masa untuk sambung menulis manuskrip buku pendidikan Warga Prihatin. Nantikan kemunculan buku ini. Saya hanya sebahagian dari penulis kerana ada 10 orang dalam barisan penulis yang merangkumi pelbagai aspek perlaksanaan sistem pendidikan yang lengkap 🙂

 

Semasa saya di Jepun, saya lihat anak-anak pra-sekolah mereka tidak diajarkan tentang akademik lagi. Yang ditumpukan adalah dalam pembangunan jatidiri, adab, etika dan pada setiap hari mereka ini datang ke sekolah untuk bergembira. Anak Jepun memang tak sabar nak ke sekolah kerana di sekolah ada kawan-kawan dan juga segala jenis permainan. Mereka dididik untuk bela ikan, bela arnab, siram pokok, melukis, bermain dan macam-macam lagi. Pada ketika itu, anak orang Malaysia menang dari segi kemampuan membaca dan mengira. Mereka belum mula lagi. Orked sudah boleh belajar membaca merangkak-rangkak. Saya rasa dah ok dah tu. Ada anak orang lain siap ada anak yang dah pandai baca Herald Tribune lagi. Btw, buku tu untuk pembangunan sekolah Warga Prihatin yang sistemnya dah dijalankan lebih 8 tahun. Kita jengah Jepun, Singapura, Vietnam, Finland, semua itu untuk perbandingan dengan sistem yang TELAH KAMI JALANKAN sahaja. Mudahnya, jika ikut Quran & Sunnah, semua akan jadi yang terbaik. Ada yang silap faham ingat kita nak tiru sistem di sana. Kita nak tiru sistem pendidikan Islam yang Allah ajar dalam Quran bukan yang manusia cipta itu 🙂

Oke..itu sahaja. Got to continue working on the manuscript!

SAIFUL NANG
Daddy Orked

Berita Baik sempena tahun baru

Saya dan isteri semasa dalam lawatan penyelidikan pendidikan di Tokyo – Ini selfie ok! 😉

 

Ok, sebenarnya saya bukanlah seorang yang aktif dalam aktiviti-aktiviti pada malam hari. Pada waktu siang pun banyak habis pada kerja. Dari pagi pergi bekerja, malam balik ke rumah dan selepas makan malam bergegas ke RUmah Pengasih Warga Prihatin pula. Pulang ke rumah semula dalam sekitar jam 3-4 pagi. Kadang-kadang terus pusing sampai 7 pagi. Balik rumah cuma mandi dan terus bekerja semula. Memang sibuk kan? Tapi itulah kehidupan saya dengan masa yang terbatas itu. Mungkin dengan kehadiran berita ini korang akan rasa saya ini aktif sangat. Sikit-sikit nak ON, sikit-sikit nak ON.

Apapun, oklah…ini beritanya. Saya sekeluarga akan menerima ahli ke 6 kami (anak saya yang ke-4)

* Anda boleh tepuk tangan sekarang sambil berdiri

Sebelum anda katakannya…yeps…dah berderet-deret macam keretapi. Buat masa ini, kami tak plan langsung tapi boleh pulak jadi 2 tahun sorang ni 🙂 Rezeki Allah nak beri. Dalam hati, kami harap yang keempat ni anak lelaki pula. Apapun, kami tak kisah asalkan anak itu sihat dan mampu menjadi anak yang bermanafaat kepada manusia, kami dah happy dah.

Ok itu sahaja.

Anda boleh share-man cerita ini kalau anda mahu.

SAIFUL NANG
Peladang Berjaya

TAHUN 2014 – Saya restart blog saya

Foto oleh Saiful Nang | Utar Pradesh, India

Bukan nak meraikan sangat kedatangan awal tahun gregori ini tetapi sekadar terfikir, berapa lamakah saya nak berada di facebook. Esok lusa mungkin facebook saya boleh disenyapkan oleh tangan-tangan ghaib. Maka, berpatah baliklah di blog ini sambil-sambil update di FB. Mungkin lebih banyak buah fikiran boleh dikongsikan di sini. Hatta, banyak juga posting saya yang ingatkan pendek rupanya dah panjang macam satu artikel baru.

So…rajin-rajinlah datang tengok blog ini ek.

Sejarah lalu seperti gambar-gambar pengantin etc yang ada dalam blog ini biarkanlah. Biarkan ia menjadi sebahagian sejarah saya. Supaya anda semua tahu, saya bukannya malaikat dan saya berada pada hari ini kerana satu pembaikan. Lebih baik kan? Saya tidak dilahirkan sempurna tapi saya mahu berusaha menjadi sempurna.

Tahun ini tahun penting saya. Perkembangan Rumah Pengasih Warga Prihatin dan juga desakan alam untuk mempercepatkan proses penubuhan Sekolah Warga Prihatin telah meletakkan saya bersama beberapa sahabat pengasas yang lain untuk berada dalam jemaah penubuh sekolah integrasi Warga Prihatin. Ia sebuah sekolah Islam tetapi tidak dinamakan ISLAM itu pada nama sekolah itu. Biarkanlah ia lebih universal kerana Islam itu untuk semua. Kami kira, Mr. Fong yang tak putus-putus memberikan kayu kayan dan penggunaan lori beliau pun wajar merasai nikmat sistem sekolah terbaik ini walaupun beliau bukan Islam.

Mengapa kami katakan sistem pendidikan itu yang terbaik? Pastinya kerana ia mengikuti 100% Quran & Sunnah. Nanti orang kata, apa beza dengan tahfiz dan pondok yang sedia ada? Ok, kami tak mahu komen lagi kerana komen itu perlukan penjelasan panjang lebar. Mudahnya, jika ada satu pendidikan yang benar-benar mengikuti acuan quran dan sunnah, pastinya kita mampu melihat kelibat orang-orang Islam sehebat Saladdin, Ibnu Sina, Al-Farabi, Ibnu Khaldun, Abdurrahman Auf, Khidir a.s, Ibrahim a.s dan banyak lagi. Islam apabila hari ini lebih baik dari semalam. Maka, seharusnya dengan sistem Islam itu, Zaman hari ini lebih baik dari zaman nabi-nabi terdahulu. Jika tidak, mengama nabi bersabda “Celakalah orang yang menyamakan 2 hari dalam hidup mereka” (tiada islah / pembaikan).

Itu wawasan besar tahun 2014. Doakan yang terbaik 🙂

SAIFUL NANG
Guru Besau

 

image_pdfimage_print